klik atas

backlink

gambar laju

Tuesday, March 29, 2011

Berita Tsunami Terkini 29 Mac 2011

Pekerja nuklear diarah berpindah








GAMBAR menunjukkan loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun pada 23 Mac lalu.

TOKYO - Pihak berkuasa Jepun mengeluarkan pekerja-pekerja dari loji jana kuasa reaktor nuklear Fuskuhima Daiichi yang rosak selepas mengesan peningkatan bahan radiasi.
Pihak pengurusan syarikat Tokyo Electric Power Co (TEPCO) yang mengendalikan loji jana kuasa itu menyatakan, tahap radiasi dalam air di reaktor nombor dua loji tersebut melebihi 1,000 milisievert sejam jika dibandingkan dengan standard keselamatan kebangsaan iaitu hanya 250 milisievert setahun.
Agensi Perlindungan Keselamatan Amerika Syarikat menyatakan kesan radiasi sebanyak 1,000 millisievert sudah cukup untuk menyebabkan perdarahan dalam tubuh manusia.

Pegawai-pegawai TEPCO berkata, pekerja-pekerja tersebut telah dikeluarkan daripada bangunan turbin di reaktor nombor dua untuk mengelakkan mereka terkena pancaran radiasi yang berbahaya.
Pekerja-pekerja tersebut telah berusaha sebelum ini untuk mengepam keluar air di reaktor tersebut yang mengandungi radioaktif.
Para jurutera TEPCO berhempas-pulas sepanjang dua minggu lalu bagi mengelakkan malapetaka yang disebabkan oleh sejumlah batang bahan bakar di Fukushima Daiichi cair selepas rosak akibat gegaran gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada 11 Mac lalu.
Sementara itu, ujian menunjukkan air di loji nuklear tersebut mengandungi tahap radioaktif 10 juta kali ganda daripada normal didapati satu kesilapan.
Beberapa pegawai menyatakan tahap radiokatif itu mungkin lebih rendah daripada keputusan ujian tersebut.
Gempa bumi kuat pada skala 9.0 Richter pada 11 Mac lalu itu menyebabkan 27,500 orang terbunuh dan hilang.
Kerja-kerja tersebut sudah beberapa kali terhenti kerana kerap berlaku letupan dan kenaikan tahap radiasi di dalam reaktor.
Tragedi di Jepun itu merupakan krisis nuklear paling teruk sejak letupan loji di Chernobyl, Ukraine pada suku abad lalu.
Pada Khamis lalu, tiga orang pekerja TEPCO yang bekerja di reaktor nombor tiga telah dimasukkan ke dalam hospital selepas terkena air yang mempunyai tahap radiasi sebanyak 10,000 kali ganda tinggi daripada tahap radiasi di dalam reaktor.
Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Yukiya Amano berkata, langkah berhati-hati bagi menghadapi masalah nuklear akan berlanjutan selama beberapa minggu dan mungkin berlarutan selama berbulan-bulan.
Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, jika seseorang itu mengalami pendedahan radiasi yang banyak di antara 50 hingga 100 millisievert, mangsa akan mengalami perubahan bahan kimia dalam darah.
Jika seseorang terkena radiasi di antara 100 ke 500 millisievert, dia akan berasa mual atau loya.
Seseorang itu akan muntah-muntah jika terkena pancaran melebihi 500 sehingga 700 millisievert.
Rambut akan gugur dalam tempoh hanya dua hingga tiga minggu jika terkena radiasi di antara 700 ke 750 millisievert.
Apabila terdedah di antara 750 hingga 900 millisievert, pesakit akan mengalami cirit-birit.
Pendarahan akan berlaku apabila seseorang itu terkena pendedahan bahan radiasi 900 hingga ke 1,000 millisievert.
Kematian boleh berlaku dalam tempoh dua bulan jika seseorang itu terdedah pada radiasi sebanyak 1,000 hingga 4,000 millisievert jika tidak mendapatkan rawatan.
Dinding usus akan rosak, pendarahan dalaman bakal berlaku dan seseorang itu boleh mati dalam tempoh di antara satu hingga dua minggu jika terdedah pada pancaran radiasi di antara 4,000 hingga 10,000 millisievert.
Pendedahan radiasi yang tinggi antara 10,000 hingga 20,000 millisievert pula akan menyebabkan kerosakan sistem saraf tunjang dan boleh membawa maut hanya dalam tempoh masa beberapa jam. - Agensi

Loji Fukushima terus cetus bimbang

SENDAI 25 Mac - Kebimbangan rakyat Jepun terus tertumpu kepada loji nuklear Fukushima, yang masih mengeluarkan wap radioaktif menyebabkan air paip di bandar raya Tokyo, ibu negara Jepun tidak selamat untuk bayi, selain mencetuskan kerisauan di seluruh dunia berhubung keselamatan makanan yang diimport dari negara ini.
Operator loji nuklear Fukushima memberi amaran usaha untuk menstabilkan loji itu boleh mengambil masa sebulan lagi.
"Kebocoran itu benar-benar menakutkan saya kerana radiasi merosakkan gen dan DNA, sesuatu yang tidak dapat dirawat oleh mana-mana doktor.
"Tidak ada rawatan untuk pendedahan kepada radiasi," kata Sunao Tsuboi, 80-an, mangsa yang terselamat dalam serangan bom nuklear Amerika Syarikat (AS) ke atas Hiroshima pada 1945.
Dua penumpang Jepun dihantar ke hospital di China setelah paras radiasi pada diri mereka didapati jauh mengatasi paras normal setibanya mereka di bandar Wuxi, timur China semalam dalam penerbangan dari Tokyo.
Menurut seorang doktor di sebuah hospital di bandar Suzhou yang berdekatan, kedua-duanya 'dibersihkan daripada kontaminasi' dan dibenarkan keluar hospital, manakala pihak berkuasa China berkata, mereka tidak menimbulkan ancaman radiasi kepada penumpang lain.
Di loji Fukushima, pekerja terus menyemburkan air laut ke reaktor yang terlampau panas dan ke dalam kolam rod tenaga sebagai langkah sementara untuk mencegah kecairan, sambil berusaha untuk membina semula sistem penyejuk yang asal.
Risiko besar yang dihadapi oleh pasukan kecemasan di loji itu menjadi nyata apabila dua pekerja subkontraktor bagi operator, Tokyo Electric Co. (TEPCO) dimasukkan ke hospital semalam kerana kebakaran radiasi.
Pekerja tersebut sedang memasang kabel di tingkat bawah tanah bangunan turbin reaktor No. 3 apabila mereka terpijak kolam air mengandungi bahan radioaktif 10,000 kali paras normal, menurut TEPCO.
Sementara itu, jumlah korban akibat gempa terburuk di Jepun selepas Perang Dunia Kedua mengatasi angka 10,000 orang hari ini.
Jepun menaruh harapan tipis untuk menemui mangsa yang masih hidup di kalangan 17,500 lagi yang disenaraikan sebagai hilang, dua minggu selepas gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter disusuli tsunami gergasi yang melanda kawasan timur laut negara ini. - AFP

MRA gerak usaha bantu mangsa bencana Jepun

KUALA LUMPUR 27 Mac - Malaysian Relief Agency (MRA) telah mengenal pasti kawasan operasi bagi membantu mangsa-mangsa bencana berganda Jepun - gempa bumi, tsunami dan kebocoran nuklear.
Pegawai MRA yang kini berada di negara matahari terbit itu akan membuat tinjauan di lapangan tersebut esok dan memaklumkan mengenai gerak kerja dan aktiviti seterusnya berdasarkan maklumat dan keperluan yang diperoleh.
Pengarah Eksekutif MRA, Mohd. Shahrulazilan Said berkata, MRA bekerjasama dengan Alumni Look East Policy Society (ALEPS) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan di Jepun dalam aktiviti membantu mangsa.
"Akhbar tempatan melaporkan bahawa lebih 10,000 angka kematian telah dicatatkan dan lebih 17,433 mangsa masih dilaporkan hilang," katanya menerusi e-mel dari Otsuka, Tokyo kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan juga telah tidak dapat meneruskan tradisi pembakaran mayat malah terpaksa menggali kubur kerana jumlah mayat yang semakin meningkat.
Katanya, berkaitan radiasi pula, di sesetengah kawasan, pencemaran iodin di dalam air dikatakan meningkat 10,000 kali daripada paras biasa.
Penduduk yang tinggal dalam jarak radius 60 kilometer (km) dari Loji Fukushima telah diminta untuk meninggalkan kawasan itu secara sukarela, katanya yang telah dua hari berada di negara itu.
Tinjauan MRA di Tokyo mendapati selain catuan elektrik di seluruh Tokyo, setiap keluarga dihadkan untuk membeli hanya sepuluh bungkus mee segera sahaja dan hanya tiga bungkus tisu basah sahaja untuk sebuah keluarga.
Air mineral dan minuman juga menjadi komoditi yang begitu laris di Tokyo buat masa kini.
MRA telah terlibat secara serius dalam kerja-kerja di kawasan bencana seperti gempa bumi di Padang, Indonesia dan banjir besar di Charsadda, Pakistan. MRA turut terlibat dalam misi bantuan banjir di Kedah, Kelantan dan Johor.

Paras radiasi terlampau di reaktor Fukushima

KITAKAMI 27 Mac - Paras radiasi yang terlampau tinggi dikesan dalam air yang bocor dari sebuah reaktor di loji nuklear Fukushima, timur laut Jepun hari ini, memberi tamparan terbaru kepada usaha untuk menamatkan krisis di kompleks yang rosak teruk dalam gempa bumi dan tsunami baru-baru ini.
Operator loji, Tokyo Electric Co. (TEPCO) berkata, petugasnya telah mengesan paras radiasi 10 juta kali lebih tinggi daripada biasa dalam air yang bocor di reaktor No. 2, sementara wap putih terus kelihatan daripada loji tersebut.
Paras radiasi didapati 1,000 milisievert sejam, memaksa pekerja dikeluarkan dari bangunan turbin reaktor kerana keadaan terlalu berbahaya untuk mereka terus berada di sana, kata TEPCO.
"Paras radiasi terlalu tinggi dan besar kemungkinan air bocor daripada reaktor," kata jurucakap agensi keselamatan nuklear, Hidehiko Nishiyama mengenai bacaan terbaru itu.
Satu dos 1,000 milisievert boleh menyebabkan sakit radiasi sementara termasuk loya dan muntah-muntah.
Pendedahan kepada 100 milisievert setahun dianggap paras terendah yang boleh menunjukkan kenaikan risiko dihidapi kanser.
Ketika timbul kebimbangan mengenai kebocoran kolam rod tenaga atau kebocoran injap dan paip kolam itu, ketua jurucakap kerajaan, Yukio Edano mengakui kemajuan untuk mengawal loji itu kurang menggalakkan.
"Kami mahu memberikan gambaran lebih jelas tentang bila krisis ini akan diselesaikan, tetapi saya tidak boleh bersikap lebih optimis daripada realiti yang berlaku," katanya.
Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Yukiya Amano turut memberi amaran, krisis nuklear Jepun mungkin berlarutan selama berminggu-minggu, kalau tidak berbulan-bulan, memandangkan loji itu mengalami kerosakan teruk. - AFP

Gempa bumi berukuran 6.5 magnitud landa Jepun

28/03/2011 9:38am

KUALA LUMPUR 28 Mac – Gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter berlaku berhampiran pantai timur Honshu di Jepun pada pukul 6.24 pagi tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Pusat gempa itu terletak 370km timur laut dari Tokyo dan 4,337km timur laut Kudat, Sabah.
Honshu telah dilanda dengan beberapa gempa bumi kuat bulan ini. – Bernama

Misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia

28/03/2011 10:11am

TOKYO 28 Mac – Misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke negara matahari terbit ini berikutan gempa bumi dan tsunami tiba di sini malam tadi.
Kumpulan kedua terdiri daripada 15 pakar perubatan dan dua pakar daripada Agensi Nuklear Malaysia bersama-sama 40 sukarelawan serta wakil media tiba di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
Ia akan menyertai kumpulan pertama membabitkan seramai 10 orang sukarelawan yang dikenali sebagai pasukan teknikal dan pemantau yang telah berlepas Khamis lepas.
Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, misi akan bermula esok dengan kunjungan ke kedutaan dan pelajar Malaysia sebelum ke pusat pemindahan di sekitar kawasan bencana bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas.
Cabaran bagi satu-satunya badan bukan kerajaan dari Malaysia dalam misi ini yang dijangka berakhir pada 6 April, adalah ancaman gempa, tsunami dan radiasi.
Misi ini bertujuan bagi menghulurkan kira-kira 200 tan barang keperluan kepada mangsa bencana yang ketika ini kerajaan Jepun lebih memerlukan bantuan kemanusiaan dalam bentuk barangan dan keperluan yang lain. – Bernama

Pantau kereta, alat ganti dari Jepun

PUTRAJAYA 28 Mac – Satu pasukan khas ditubuhkan untuk memantau dan mengelakkan kemasukan kereta dan alat ganti dari Jepun yang rosak akibat bencana tsunami.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pasukan khas tersebut yang dianggotai beberapa agensi berkaitan telah mengadakan mesyuarat pertama minggu lalu.
‘‘Antara agensi terlibat termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS),” katanya.
‘‘Kami turut bekerjasama dengan pihak pengimport untuk memastikan tiada peralatan kereta yang rosak dibawa masuk ke negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Cabaran Usahawan Muda 1Malaysia di Menara Usahawan di sini hari ini.

Kementerian pantau tahap radiasi

KOTA KINABALU 28 Mac - Sebilangan besar kakitangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi termasuk Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili turun padang bagi memantau persekitaran negara berikutan paras radiasi terlampau yang dikesan di loji nuklear Fukushima, Jepun.
Menurut Maximus, berdasarkan pemantauan yang dilakukan sejak 15 Mac lalu, tiada sebarang kesan radiasi dicatatkan, malah enam buah mesin yang digunakan untuk tujuan itu di seluruh negara termasuk sebuah di Kudat tidak menunjukkan sebarang tanda kehadiran bahan tercemar itu.
Beliau yang baru sahaja pulang daripada melakukan pemantauan di Kudat dan Kota Marudu turut memberitahu, bacaan pada mesin itu adalah negatif.
"Dua tempat ini merupakan daerah di negara ini yang paling dekat untuk menerima kesan radiasi dari Jepun. Namun bacaan terhadap kesan sinaran radiasi adalah negatif," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Innospce, Pusat Inovasi Komuniti kedua negara selepas pusat pertama ditubuhkan di Kuching, Sarawak.
Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Datuk Ir. Yahaya Ahmad.
Mengulas lanjut Maximus berkata, beberapa agensi lain turut membantu kementerian membuat pemantauan termasuk Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Nuklear Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Meteorologi.
Menurutnya, selain memantau persekitaran negara, kementerian turut memastikan semua individu yang memasuki negara ini bebas daripada sebarang kesan radiasi menerusi pemeriksaan menggunakan teknologi moden.
"Saya jamin tiada sebarang kesan radiasi di negara ini setakat ini.
Saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai khabar angin mengenai perkara itu yang disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas," katanya.

Produk makanan dari Jepun bebas radioaktif

KUALA LUMPUR 29 Mac - Sebanyak 38 sampel produk makanan termasuk ikan, sayur-sayuran serta tenusu dari Jepun didapati mematuhi tahap kandungan bahan radioaktif yang dibenarkan dan akan terus dijual di pasaran tempatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, bermula 16 Mac lalu pihaknya membuat pemeriksaan tahap lima iaitu tahan, uji dan lepas ke atas semua makanan yang diimport dari Jepun.
"Pemeriksaan tersebut dilakukan mengikut Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) dan proses ini akan dilaksanakan di semua pintu-pintu masuk negara.
"Setiap produk makanan yang diimport dari Jepun hanya dibenarkan dijual di pasaran tempatan sekiranya didapati mematuhi tahap radioaktif yang dibenarkan," katanya.
Beliau mengulas mengenai hasil pemantauan makanan yang diimport dari Jepun berikutan insiden letupan loji nuklear di negara itu akibat kejadian gempa bumi dan tsunami baru-baru ini.
Tiong Lai menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang soal keselamatan makanan yang diimport dari Jepun kerana kementerian membuat pemantauan secara berterusan.
"Pihak kami dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bekerjasama memantau tahap radiasi dalam persekitaran negara," katanya.
Jelasnya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap soal keselamatan dan kesihatan rakyat dengan sentiasa memastikan semua produk makanan yang diimport adalah selamat untuk digunakan.
Orang ramai yang ingin mendapat maklumat mengenai hasil pemantauan makanan yang diimport dari Jepun boleh melayari laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di http://fsg.moh.gov.my.

Jepun cadang tutup loji nuklear dengan kain khas

SENDAI 30 Mac - Jepun hari ini menimbangkan rancangan untuk menyelubungi bangunan-bangunan reaktor nuklear yang rosak di Fukushima dengan kain penutup khas bagi membendung radiasi, dan mengepam air radioaktif ke dalam sebuah kapal tangki yang berlabuh di luar pesisir.
Pihak berkuasa belum dapat menstabilkan keadaan di loji nuklear yang terlampau panas dan mengeluarkan radiasi itu.
Segala kemungkinan sedang dipertimbangkan dalam usaha Jepun untuk menyelesaikan krisis nuklear terburuk di dunia sejak malapetaka Chernobyl 25 tahun lalu, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano hari ini.
Langkah itu termasuk menyelubungi tiga bangunan reaktor yang rosak teruk dengan kain penutup khas dan memasang penapis udara untuk membataskan radiasi, lapor akhbar Asahi Shimbun.
Satu lagi rancangan ialah menempatkan sebuah kapal tangki kosong di perairan dekat reaktor No. 2, supaya pekerja boleh mengepam air radioaktif menyamai kapasiti beberapa kolam renang Olimpik ke dalam badan kapal.
"Kami berada dalam situasi luar biasa, kerana itu kami perlu memikirkan pelbagai strategi, selain yang biasa kami fikirkan," kata seorang pegawai agensi keselamatan nuklear.
Kerajaan turut mengarahkan langkah keselamatan ditingkatkan segera di kesemua 55 loji tenaga nuklear di negara ini.
Arahan itu menandakan pengakuan pertama kerajaan bahawa piawai keselamatan tidak memadai apabila gempa bumi dan tsunami merosakkan kompleks nuklear di Fukushima hampir tiga minggu lalu.
Sementara itu kebocoran radiasi terus dikesan di sekitar loji tersebut, dengan bacaan menunjukkan iodin radioaktif di laut berhampiran pada tahap 3,355 kali paras dibenarkan. - AFP/Reuters


Info Produk Makanan Dari Jepun

Jenis produk makanan yang diimport dari Jepun dari 18 Mac sehingga 25 Mac yang mematuhi kandungan bahan radioaktif

1. Ikan segar Jepun
2. Ikan campuran Jepun
3. Sayur segar Jepun
4. Ikan tuna segar
5. Ikan aji-aji (Amberjack)
6. Ikan air tawar
7. Ikan sebelah Jepun
8. Pati kacang soya (Miyasaki Tokuiri & Shoku Naganegi)
9. Pati kacang soya (Miyasaki Tokuiri & Shoku Aburaage)
10. Pati kacang soya (Miyasaki Tokuiri & Shoku Tofu)
11. Pati kacang soya (Miyasaki Tokuiri & Shoku Wakame)
12. Pati kacang soya (Miyasaki Tokuiri & Shoku AwaseCup)
13. Makanan ringan (Denroku Kobukuri)
14. Fillet ikan selar
15. Ikan kembung
16. Tomato
17. Ikan tuna sejuk beku
18. Ikan air tawar Forel
19. Yogurt
20. Udang halus
21. Ikan air tawar Trout

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah

Lazada : Kedai Online Top

Popular Posts

Harimau Malaya

harimau malaya 728x90 Banner

WMA Masterclass

Lazada : Kedai Online

Wordlinx - Klik Bayaran Anda

WordLinx - Get Paid To Click

'Traffic' Percuma

The Best Traffic Exchange

Anak Pintar cerdas

Rahsia Bisnes SHOPEE Bersama Otai

Best of The Best Blog

leaderboard2 denaihati Banner

Lazada : Kedai Online